Sejarah RTM Sabah


Sejarah penyiaran di  Sabah  bermula  pada  tahun  1939  dengan  ulasan  selari  perlumbaan  kuda  di Jesselton  (sekarang Kota Kinabalu)  yang  dibuat  dalam  Bahasa  Inggeris  dan disiarkan melalui talian radio-telefon ke Sandakan. Radio telefon ini dikuasai  oleh Jabatan  Radio-Telegraf  yang  telah  wujud sebelum  tahun 1916.  (Petikan  dari Laporan  Tahunan  Jabatan Radio-Telegraf Negeri Jajahan Borneo Utara).
Perkhidmatan siaran radio sepatutnya boleh dimulakan sebelum tahun  lima  puluhan  tetapi  tidak  ada siapa pun yang mahu atau berhak memulakannya. Atas inisiatif seorang Jurutera Telekom, Mr. Bradley, beliau membuat percubaan siaran radio dari  rumahnya  sendiri  sebagai  studio  dan  memancarkannya dengan menggunakan alat pemancar  yang terdapat  di bangunan  Pos dan  Telegraf  yang  kebetulan terletak  dekat  dengan  rumahnya. ( Petikan  dari  temuramah  dengan Encik Ian De La Harpe,  bekas Juruteknik Kanan Telekom/Penyiaran 1957).

Siaran percubaan dari rumah Mr. Bradley  dikendalikan pada  tengah  hari  dengan  menyiarkan  berita, kadangkala  pengumuman  dan rencana mengenai  perlumbaan kuda yang sememangnya amat diminati ramai. Walaupun masih  dalam  percubaan  sambutan  orang ramai amat menggalakkan diukur dari segi permintaan Lesen Penerima Siaran yang perlu dibayar  kepada Jabatan Pos dan Telegraf. Dalam tahun 1951 jumlah  lesen  yang  dikeluarkan  ialah  1,611  dan  dalam  tahun yang sama siaran percubaan ini dikendalikan dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Cina.

 RANCANGAN DIPERKENALKAN DAN DIKENALI SEBAGAI RADIO SABAH






Siaran radio dari rumah Mr. Bradley berkembang dengan pesatnya dan telah mendapat  sokongan  dari pihak pemerintah  British  Jajahan Borneo Utara. Operasi penuh dimulakan dalam tahun  1952  dengan memperkenalkan  rancangan-rancangan  radio   yang  lebih  tersusun   dan   secara   tidak   rasminya perkhidmatan ini dikenali sebagai Radio Sabah.
Rancangan-rancangan yang baru diperkenalkan ini dikelolakan  oleh  kakitangan  Jabatan  Penerangan dan  disiarkan  oleh Jabatan Telekom. Kedua-dua jabatan telah bekerjasama iaitu Jabatan Penerangan menyediakan  berita,  rancangan   dan   pengumuman   sementara   Telekom   mengendalikan   bidang teknikalnya.

PERASMIAN RADIO SABAH, BANGUNAN SEMENTARA DAN PELANCARAN SIARAN DI SEBELAH PETANG






Pada 9 November 1955 Perkhidmatan Radio Sabah telah dilancarkan secara rasminya serentak  dengan perasmian bangunan sementara yang terletak di Bukit Brace berhampiran  dengan  menara  jam  (clock tower)  di Ibu Negeri.  Turut  dilancarkan  ialah  siaran  petang oleh Gabenor Jajahan Borneo Utara, Sir Roland Turnbull.  Ketika  ini  Radio  Sabah dikendalikan dalam 4 bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan Kadazan.

Perkhidmatan Radio Sabah terus berkembang apabila bangunan  tetap Wisma  Radio  siap  dibina  pada tahun  1962 yang  terletak  di Bukit  Nenas,  Jalan Tuaran iaitu bangunan yang ada sekarang. Selepas Sabah  merdeka  melalui  pembentukan  Malaysia pada 1963 Radio Sabah bertukar nama menjadi Radio Malaysia  Sabah.  Siaran  Radio  bermula  di bangunan  baru  ini  pada 23 Jun 1963. Jabatan Penyiaran Malaysia  kemudian  berpisah  dengan  Jabatan  Penerangan  Malaysia  pada  1964  di bawah naungan Kementerian Penerangan Persekutuan.

Sejak dari tarikh ini  Jabatan Penyiaran telah menjadi sebuah agensi kerajaan  yang amat berpengaruh sekali  di negeri ini. Perananya sebagai alat sebaran am kerajaan terbukti dari jumlah peruntukan wang yang  besar  bagi  mengembang  dan  meluaskan  kegiatan-kegiatannya  di Sabah. Pembinaan stesen-stesen  pemancar  yang baru di tempat-tempat strategik di seluruh negeri meluaskan lagi pemancaran radio sejajar dengan pembangunan pesat di negeri ini.

RANCANGAN RADIO

Selari dengan perkembangan fizikal jabatan ini, perkembangan di bidang rancangan (programme) juga amat pesat. Ini dapat dilihat dari keupayaan 'output' pada kadar kiraan masa siaran (air time) dalam seminggu. Pada tahun 1955 masa siaran di udara hanya 15 jam seminggu berbanding dengan masa siaran yang ada sekarang iaitu Rangkaian Satu (Siaran Bahasa Malaysia) 24 jam sehari atau 168 jam seminggu dan Rangkaian Kedua (Siaran Berbagai Bahasa) juga 24 jam sehari. Rancangan-rancangan di awal lima puluhan dan enam puluhan merupakan 95 peratus bahan-bahan luar negeri (foreign transcription).
Pada keseluruhannya dasar rancangan Radio Malaysia Sabah adalah selaras dengan dasar Ibu Pejabat di Kuala Lumpur iaitu memberi khidmat kepada pendengar-pendengarnya imbangan rancangan yang sihat dari segi maklumat, pendidikan dan hiburan.

KEWUJUDAN SIARAN TV DI SABAH

Dalam merangka Rancangan Malaysia Pertama (1965-1970), penubuhan TV di Sabah tidak dimasukkan dalam perancangan tersebut. Disebabkan perkembangan pembangunan yang berlaku pada masa itu terlalu cepat dan di luar jangkaan, maka keperluan untuk mengadakan saluran TV di negeri ini mula dirasai dan ini menyebabkan Kerajaan mengubah rancangan asal dan membawa ke hadapan rancangan tersebut.
Kajian persediaan mengenai kemungkinan dapat menubuhkan perkhidmatan televesyen untuk Sabah telah disediakan oleh seorang pakar dari Kanada, Mr. G. F. Brickenden pada 4 Mei 1964. Walaupun kajian yang terperinci ini sudah siap namun projek ini tidak dapat dilaksanakan disebabkan masalah kewangan dari Kerajaan Pusat yang bertanggungjawab ke atas perlaksanaannya. Bagaimanapun pada bulan November 1967 rancangan ini telah mendapat perhatian yang lebih bermakna daripada Ketua Menteri Sabah, YAB Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun, bila beliau mengumumkan kesediaan Kerajaan Negeri untuk membiayainya.
Penubuhan saluran TV akhirnya berjaya diperkenalkan di Negeri Sabah atas dorongan kuat daripada Ketua Menteri Sabah dan pada 18 Januari 1969 Kerajaan Negeri mengumumkan 'Lampu Hijau' untuk memulakan projek tersebut.
Kompleks TV ini merupakan bangunan-bangunan lama bekas wad rumah sakit Kelas Pertama yang dibina oleh Kerajaan British selepas perang sehinggalah tahun 1956 apabila rumah sakit berpindah ke bangunan yang baru, bangunan-bangunan lamanya terus dijadikan rumah kediaman kakitangan Kerajaan sehinggalah kawasan ini diambil sebagai kompleks TV sementara.

Pelancaran Perkhidmatan TV di Sabah

Perkhidmatan siaran TV di Sabah akhirnya dapat dilancarkan secara rasminya pada 28 Disember 1971 dan dikenali sebagai TV Malaysia Sabah. Siaran ini telah mencahayakan tempat-tempat kediaman dan juga hati masyarakat Sabah. Sebagaimana Radio, TV telah menjadi 'peti ajaib' yang dimestikan ada oleh setiap keluarga. Perkhidmatan ini juga merupakan satu lagi perkembangan dari segi perhubungan di negeri ini dan penubuhannya amat penting sekali sebagai alat yang dapat memberikan pelajaran, pengetahuan, perpaduan negara di samping menjadi alat penghibur utama. TV juga memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk lebih bergiat dan menonjolkan, dapat mendedahkan seni budaya suku kaum sebagai langkah ke arah pembangunan satu kebudayaan bangsa Malaysia yang bersatu.
RANCANGAN-RANCANGAN SIARAN DALAM HITAM PUTIH

TV Malaysia Sabah mengendalikan kedua-dua perkhidmatan siaran dan penerbitan rancangan-rancangan tempatan. Semua rancangan disiarkan dari studio di Kota Kinabalu dan dipancarkan ke seluruh Sabah dalam hitam putih iaitu melalui saluran-saluran berikut:-
Saluran 10 - Kawasan Pantai Barat
Saluran 9 - Kawasan Kudat, Tawau dan Pedalaman
Saluran 8 - Kawasan Sandakan
Saluran 7 - Kawasan Lahad Datu dan Semporna

TV MALAYSIA RANGKAIAN NASIONAL MEMANCAR KE SABAH DAN SARAWAK

Pada mula TV diperkenalkan di Sabah rangkaian ini dikenali sebagai TV Malaysia Sabah dan hanya meliputi negeri Sabah Sahaja. Jumlah masa siaran ketika itu ialah 35 jam seminggu yang memulakan siaran dari pukul 6.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari.
Dengan adanya kemudahan satelit Bumi di Tampasak Kinarut Sabah, Satelit Bumi Kuantan dan Satelit Angkasa di Lautan Hindia, siaran TV dari Kuala Lumpur boleh diterima di Sabah dan Sarawak. Siaran TV Rangkaian Nasional ke Sabah dan Sarawak ini dilancarkan secara rasminya pada 30 Ogos 1975. Dengan pelancaran ini negeri Sarawak telah dapat menikmati siaran TV buat kali pertama. TV Malaysia Kota Kinabalu pula ditukar nama menjadi TV Malaysia Rangkaian Ketiga.

SIARAN DARI TV MALAYSIA RANGKAIAN KETIGA DIHENTIKAN

Perkembangan dalam bidang penyiaran TV di Malaysia begitu pesat sekali, siaran Rangkaian Nasional mula menyiarkan rancangan-rancangan dalam warna pada tahun 1978. Pada 31 Ogos 1983 siaran TV Malaysia Rangkian Kedua dapat diterima ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Dengan adanya siaran dua rangkaian dari Kuala Lumpur siaran dari Rangkaian Ketiga akhirnya dihentikan pada pertengahan tahun 1985. Kini stesen televesyen di Kota Kinabalu menjadi pusat penerbitan rancangan-rancangan tempatan untuk disiarkan melalui rangkaian satu dan dua.

No comments:

Post a Comment